Tiada Cukai Jalan Dan Lesen Memandu, Pemandu BMW Beri Alasan Anak Suka Naik Kereta Jalan-Jalan

ANAK suka naik kereta ini, sebab itu saya pandu juga malam ini (semalam) walaupun tahu tiada cukai jalan.”

Alasan itu diberikan pemandu kereta BMW selepas ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dalam Op Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidiladha di Jalan Pahang, di sini malam tadi.

Siasatan mendapati cukai jalan kereta dipandu lelaki 32 tahun itu tamat tempoh sejak 2019 dan dia turut mendakwa dibebaskan dari penjara baru-baru ini dan masih tiada pekerjaan tetap, yang menyebabkan tidak mampu memperbaharui cukai jalan.

“Kereta ini saya beli pada 2017 dengan bayaran tunai RM40,000, yang mana ketika itu saya bekerja menjual besi buruk.

“Bagaimanapun selepas itu saya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan sebab itu ia (cukai jalan) tidak dapat diperbaharui sehingga kini,” katanya.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut JPJ juga mendapati lelaki itu turut tidak memiliki lesen memandu.

Sumber gambar – Sabah Post | Sumber laporan – Harian Metro