Dimadukan selepas sebulan berkahwin, muka bengang isteri pertama curi perhatian netizen

BUKAN seorang tetapi dua isteri hanya dalam tempoh tidak sampai sebulan. Itu tindakan berani seorang remaja lelaki yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Vokasional di Lombok, Indonesia apabila menikahi dua gadis baru-baru ini, lapor Kompas.com.

Pada masa sama, riak wajah isteri pertama yang kelihatan tidak puas hati ketika majlis persandingan bersama madunya baru-baru ini juga lebih mencuri tumpuan netizen.

Lelaki berusia 18 tahun yang bernama Ahmad Rizal itu baru saja bernikah dengan isteri pertamanya, Fitriani dengan mas kahwin sebanyak 2.5 juta rupiah (RM704) pada 17 September lepas sebelum membuat keputusan menambah satu lagi ‘cawangan’ pada 12 Oktober lalu apabila menikahi Maryani dengan mas kahwin sebanyak satu juta rupiah (RM281).

Keputusan dibuat Ahmad Rizal bukan saja mengejutkan Fitriani, malah ibu Ahmad Rizal turut pengsan sebaik mendengar permintaan anaknya itu.

RIAK wajah isteri pertama, Fitriani (kiri) yang kelihatan bengang kerana dimadukan tidak sampai sebulan berkahwin benar-benar mencuri perhatian netizen.

Kompas.com melaporkan, Fitriani baru saja tamat pengajian di Sekolah Menengah Rendah manakala isteri keduanya, Maryani masih menuntut di Sekolah Menengah Atas.

Disebabkan anak dan menantunya masih di bawah umur, ayah lelaki terbabit bersetuju menjalankan pernikahan secara adat tanpa membabitkan pejabat pentadbiran agama.

Walaupun agak khuatir dengan tindakan anaknya itu, keluarga pengantin lelaki dan perempuan berharap bahtera rumah tangga mereka akan bahagia.

AHMAD RIZAL bersama kedua-dua isterinya, Maryani (kiri) dan Fitriani pada majlis persandingan mereka baru-baru ini.

Sementara itu, Fitriani kecewa dengan keputusan dibuat suaminya untuk berpoligami, tetapi redha dengan takdir mereka.

“Saya sangka mereka hanyalah tetamu yang datang berkunjung tetapi sebenarnya keluarga isteri kedua. Saya kecewa namun perkara ini sudah terjadi dan saya perlu berusaha untuk hidup bahagia,” kata Fitriani.

Dalam pada itu, keluarga pasangan pengantin itu juga berharap pihak sekolah tidak mengenakan sebarang tindakan kerana mereka bernikah ketika masih menuntut di sekolah.

Pengajian mereka perlu diteruskan kerana ia akan digunakan untuk mendapat pekerjaan yang baik kelak. – Agensi

Sumber: Kompas.com