Dilarang Bermain Bunga Api Melebih 12 Tengah Malam. Boleh Dipenjara, Denda

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak bermain bunga api melebihi jam 12 tengah malam yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta mendatangkan bahaya kepada umum.

Setiausaha PDRM DCP Alzafny Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, sekiranya ingkar, tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan itu

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

PDRM juga menasihatkan masyarakat agar bermain bunga api di kawasan lapang serta mengamalkan Langkah-langkah keselamatan. Sentiasa berwaspada semasa bermain bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan.

Tegasnya lagi, jualan umum bunga api hanya dibenarkan bagi perayaan Aidilfitri/Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan Keamatan.

“Penjualan bunga api secara dalam talian adalah dilarang sama sekali dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Awani