COVID-19: PKP dilanjutkan hingga 28 Apri

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan bermula 15 hingga 28 April ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

Beliau berkata, perlanjutan itu selaras dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya tidak menamatkan PKP dengan lebih awal.

PKP dilaksanakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac kemudian dilanjutkan sehingga 14 April.

Perdana Menteri memaklumkan perlanjutan tempoh PKP itu dibuat berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan

pakar perubatan.

Katanya, seperti mana yang berlaku di beberapa negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila PKP ditamatkan.

“Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi 100 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

Katanya, dengan usaha-usaha yang telah dibuat, kes positif COVID-19 adalah terkawal pada kadar tujuh peratus, iaitu di bawah penanda aras 10 peratus yang ditetapkan WHO.

“Kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah, iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia.

“Setakat ini, seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43 peratus pesakit COVID-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes,” katanya.

Beliau menjelaskan jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu.

Jika aliran itu berterusan, katanya untuk tempoh dua minggu akan datang, insya-Allah langkah mengawal wabak COVID-19 daripada menular dapat dicapai.

– Berita Harian