Buta Bukan Halangan Muhammad Qayyim Muncul juara MTHQA ke-63

Foto: Portal Berita RTM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Buta mata, terang hati. Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi membuktikan kekurangan sebagai Orang Kurang Upaya OKU penglihatan bukanlah halangan buatnya bersaing dengan peserta normal lain dari seluruh dunia sekali gus dinobatkan gelaran juara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, malam tadi.

Muhammad Qayyim mengumpul markah sebanyak 94.96 peratus, untuk berada di kedudukan teratas, manakala tempat kedua pula dimenangi Alireza Bizhaniavval dari Iran yang memperoleh 93.30 peratus sementara Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah dari Brunei Darussalam di tempat ketiga dengan 90.38 peratus.

Bagi kategori qariah, peserta Maghribi Sara Belmamoun muncul johan dengan markah 93.05 peratus, tempat kedua Raudhah Supian Noor dari Indonesia dengan 92.21 peratus manakala peserta Filipina, Sabaha Pato Salik di tempat ketiga dengan 91.50 peratus.

Muhammad Qayyim yang ditemui sejurus dinobatkan juara MTHQA ke-63 memanjatkan kesyukuran dengan kejayaan yang dikecapinya dan menzahirkan penghargaan kepada ayah serta keluarga yang sentiasa memberikannya sokongan dan galakan dalam bidang itu.

Pemuda berasal dari Kelantan yang juga OKU penglihatan sejak lahir, berkata beliau bersyukur kerana usahanya selama 16 tahun mendalami dan mempelajari skil bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille membuahkan hasil pada MTHQA kali ini.

“Perasaan saya gembira ada, sebak ada, bagi saya, kita kena ada minat dalam bidang tarannum, saya sarankan untuk kita semua belajar tarannum sebab ia boleh buat kita rasa seronok dan kita boleh bawa bacaan dalam solat.

“Pada sesiapa yang ada masalah penglihatan, kita ni kena juga belajar baca al-Quran kerana dengan al-Quran ni, cerah masa depan kita,” katanya.

Muhammad Qayyim sebelum ini menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M.

Bagi kategori hafazan lelaki, Omar Toure dari Guinea muncul johan diikuti Maamon Ahmed Raweh Mohammed dari Yaman dan tempat ketiga Ali Attia dari Chad.

Peserta Algeria Tebani Cheyma Enfal pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita, tempat kedua Ndeye Seynabou Ngom dari Senegal dan ketiga Sidi El Moctar Khadijetou dari Mauritania.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.