BNM Selamat, Tiada Penemuan Bahan Meragukan

KUALA LUMPUR, 21 September- Warga kerja Bank Negara Malaysia (BNM) digemparkan dengan ancaman bom di bangunan berkenaan pada Rabu.

Bagaimanapun, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) yang dikerahkan ke lokasi tidak menemukan sebarang bahan yang meragukan selepas menjalankan pemeriksaan teliti dibuat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan perkara berkenaan.

Beliau berkata, ancaman bom itu diterima kakitangan BNM menerusi emel pada pukul 3 petang.

“Kami menerima laporan kira-kira pukul 3 petang dan UPB telah dikerahkan ke tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan teliti yang dijalankan, pasukan UPB tidak menjumpai apa-apa barang yang meragukan.

“Polis juga telah membuka satu kertas siasatan terhadap kes ancaman bom di bangunan berkenaan,”katanya.

Jelas Allaudeen, pihaknya kini menyiasat individu bertanggungjawab menghantar emel itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.