Bicara Kes Bella: Mahkamah benarkan lawat lokasi kejadian

HAKIM Mahkamah Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mengadakan lawatan di lokasi kejadian membabitkan seorang remaja kurang upaya (OKU) yang didakwa menjadi mangsa penderaan.

Permohonan itu dibuat susulan keterangan saksi pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood minggu lalu yang tampil menceritakan dakwaan tersebut.

Menurut Peguam, Nur A’minahtul Mardiah, lawatan ke lokasi kejadian adalah penting kerana keterangan saksi tidak cukup termasuk gambar-gambar yang dikemukakan di mahkamah.

“Lawatan ini juga penting bagi memastikan Mahkamah dan kedua-dua pihak Pendakwaan dan Pembelaan memahami dan menghargai keterangan-keterangan yang telah serta bakal di berikan di mahkamah mengenai lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, permohonan tersebut merupakan perkara biasa setiap kali membabitkan perbicaraan kes-kes jenayah atau dikenali sebagai proses ‘in the interest of justice’.

Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan mahkamah hanya melibatkan barisan peguam pembelaan, pendakwaan, saksi pendakwaan, serta tertuduh.

Turut hadir pada sesi prosiding pada Isnin, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang juga mewakili pihak OKU.

Sebelum ini, kisah remaja berkenaan yang dikenali sebagai Bella mendapat perhatian masyarakat selain ia turut tular di media sosial dengan tanda pagar #JusticeForBella.

Pada Jun lalu, polis telah menerima laporan berhubung kes penderaan remaja sindrom Down tersebut yang ditemui dengan kesan melecur di anggota badan.