Beria jiran ingat kebakaran, rupanya aktiviti pemujaan…

AKTIVITI pemujaan yang dilakukan oleh seorang lelaki terbongkar selepas orang awam membuat aduan kerana terlihat cahaya api di tingkat 31 sebuah kondominium Persiaran Bukit Gambir, Gelugor, Pulau Pinang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.55 pagi, 22 Jun lalu.

Difahamkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut. Namun, sebaik sahaja tiba, didapati tidak berlaku kebakaran sebaliknya cahaya api berkenaan tercetus akibat aktiviti pemujaan.

“Ketika bomba tiba, terdapat bau asap namun tiada kebakaran berlaku dan anggota membuka pintu menggunakan peralatan khas”, katanya.

Tambahnya lagi ketika dihubungi Berita Harian hari ini, “Didapati seorang lelaki berusia 23 tahun sedang melakukan aktiviti pemujaan di dalam rumah itu”.

Lelaki terbabit diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut. Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan pihak menerima laporan kejadian itu.

Kegiatan lelaki berkenaan turut tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Sumber: Berita Harian