Bekas Ketua Perangkawan ke-4, Datuk Shaari Abdul Rahman Telah Meninggal Dunia

 

Berita sedih melaporkan bahawa bekas Ketua Perangkawan ke-4, Datuk Shaari Abdul Rahman, telah meninggal dunia pada 3 Jun 2024.

Difahamkan bahawa jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gajah 11, Sungai Buloh, Kuala Lumpur pada hari Selasa.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai perangkawan pada 1 Mei 1971 dan pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Banci 2000.

“Antara usaha yang dipelopori beliau adalah memperkukuh perkhidmatan jabatan melalui pengukuhan peranan DOSM negeri sebagai barisan hadapan dalam pengumpulan data.

“Beliau juga memperkenalkan penggunaan ICT dalam pemprosesan dan penghantaran data secara atas talian melalui File Transfer Protocol (FTP) daripada DOSM negeri ke ibu pejabat.

“Selain itu, Allahyarham mempelopori penggunaan Sistem Daftar Pertubuhan (SIDAP) yang dipertingkat dan disesuaikan ke DOSM negeri,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Perangkawan Malaysia selama sembilan tahun, bermula dari tahun 1995 hingga 2004.

Allahyarham Shaari juga pernah menjadi penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan bidang statistik, selain aktif sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada empat anak syarikat FELCRA.