Pengaruh yang dimiliki penyanyi G-Dragon dalam industri hiburan terlalu besar. Setiap keputusannya mampu memberikan impak tertentu termasuk agensinya.
Terbaharu, sebaik berita dia bakal menamatkan kontrak eksklusif bersama agensi YG Entertaintment diketahui umum, saham syarikat berkenaan berdepan tamparan hebat.
Dalam tempoh dua hari saja selepas laporan berita itu, sahamnya mengalami penurunan dari RM324.53 kepada RM301.50. Sebanyak 7.14 peratus kurang daripada hari sebelumnya.
Kemudian diikuti dengan penurunan lagi 3.19 peratus pada hari seterusnya.
Disebabkan penurunan itu, syarikat terbabit mengalami kerugian RM600 juta daripada jumlah pokok pendapatannya iaitu RM5.4 bilion.
Kerunsingan pemegang sahamnya berterusan meningkat kerana G-Dragon dilihat sebagai artis terpenting dalam syarikat itu. Dia juga antara faktor penyumbang YG Entertaintment menjadi agensi tiga terbesar di Korea Selatan.
Sekali gus, kerunsingan itu membuatkan syarikat berkenaan tidak senang duduk sebagaimana dirasai ketika BIGBANG melancarkan lagu Still Life tidak lama dulu.
Ini kerana, ramai beranggapan lagu berkenaan menjadi pembayang bahawa ia sebuah karya ucapan selamat tinggal daripada kumpulan itu.
Bagaimanapun, agensi terbabit serta-merta mengeluarkan kenyataan rasmi menyelar tanggapan itu. Menurutnya, lagu berkenaan adalah petanda BIGBANG ingin tampil dengan era baharu.
Sebaliknya kurang dari setahun, dua anggotanya iaitu T.O.P dan Daesung memutuskan untuk tamatkan kontrak mereka bersama YG Entertaintment. Manakala Taeyang berpindah ke agensi The Black Label.
Keputusan terbaharu G-Dragon untuk menamatkan kontrak eksklusifnya, sekali gus menutup buku ikatan kumpulan BIGBANG bersama syarikat itu. Lantas makin bertambah kerunsingan pemegang sahamnya.
Sumber : Harian Metro