Anwar Ibrahim bakal ke Istana Negara Selasa depan – “Saya akan persembahkan keterangan lengkap majoriti ahli Parlimen yang kukuh, meyakinkan”

DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk menghadap baginda bagi mempersembahkan jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

Menerusi satu kenyataan, Presiden PKR itu berkata beliau dijadualkan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Selasa depan.

“Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.

“Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya menghadap pada hari Selasa, 13 Oktober 2020, InsyaAllah.

“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan Anwar pada petang Khamis.



Sebelum ini, melalui satu sidang media pada 23 September lalu, Anwar memaklumkan memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.

Menerusi sidang media tergempar tersebut, beliau memaklumkan mendapat sokongan ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam.

Anwar berkata, beliau akan menghadap Al-Sultan Abdullah selepas baginda sembuh menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang ke Istana Negara pada 20 Oktober lalu selepas menerima rawatan di IJN sejak 21 September lalu.

Sumber: mstar