50 Pelajar SMK Batu Kikir (Model Khas) Diserang Histeria

Seramai 165 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas) yang tinggal di asrama dibenarkan pulang selama seminggu susulan berlakunya kes histeria sejak Sabtu.

Menurut Ahli Parlimen Jempol, Datul Shamsulkahar Mohd Deli berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadi tersebut kira-kira jam 10 malam sebelum bergegas ke lokasi.

“Pelajar yang tinggal di asrama ada 165 orang, bagaimanapun, setakat malam tadi 50 pelajar membabitkan 19 pelajar lelaki dan 31 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami histeria.

“Kejadian ini dipercayai berlaku hanya pada waktu malam, bermula Sabtu maghrib sebelum berlarutan pada malam tadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya lagi, ibu bapa dan penjaga juga sudah dimaklumkan untuk membawa anak-anak mereka pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, hanya pelajar yang tinggal di asrama sahaja pulang dan pembelajaran di sekolah itu diteruskan seperti biasa.

“Bagi ibu bapa dan penjaga yang tidak berkesempatan mengambil anak-anak pada malam tadi, pelajar terlibat ditempatkan di dewan dan rumah warden kerana kita nak kosongkan asrama.

“Kita akan lakukan rawatan pemulihan di sini termasuklah pelajar yang terlibat yang mana kejadian sama pernah berlaku pada 2019,” katanya.

Pada tengah malam Ahad, tular pesanan suara memaklumkan kejadian tersebut diselangi dengan suara jeritan pelajar.

Sumber : Sinar Harian