4,195 Orang Terima Manfaat MyLesen B2

Foto : Kosmo

KUALA TERENGGANU – Pemberian lesen motosikal percuma melalui program MyLesen B2 yang dilancarkan Kementerian Pengangkutan sejak Mei lalu telah memberi manfaat kepada 4,195 rakyat di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, setakat ini, program tersebut telah dilaksanakan di sembilan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sabah.

Beliau berkata, keutamaan kepada pemohon dalam golongan kurang kemampuan (B40), orang kurang upaya (OKU), asnaf fakir miskin, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-kasih.

“Program ini diharap dapat meringankan beban kewangan rakyat iaitu kos RM300 untuk setiap permohonan dan mereka akan dibimbing sehingga lulus dalam mendapatkan lesen itu.

“Kita sasar 9,000 penerima akan mendapat manfaat program ini dengan kuota yang berbeza di setiap negeri sepanjang tahun ini,” katanya selepas melancarkan program MyLesen B2 peringkat Terengganu di sini hari ini.

Hasbi berkata, negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan misalnya diberi kuota 900 orang bagi program MyLesen B2 tersebut.

Tambah beliau, Pahang dan Kuala Lumpur pula masing-masing mempunyai kuota 500 orang.

“Program MyLesen B2 ini telah diberi peruntukan RM2.7 juta bagi memastikan 9,000 golongan pemohon yang layak berpeluang memiliki lesen menunggang motosikal secara sah,” katanya.

Sumber : Kosmo