Polis Siasat Kes Lelaki Dera Anjing

 

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung video yang tular memaparkan kejadian penderaan seekor anjing yang berlaku di sebuah taman perumahan Johor Jaya pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak laporan polis telah dibuat oleh seorang wanita warga tempatan berusia 49 tahun.

Video tersebut tular di Facebook selepas dimuatnaik oleh Facebook Malaysian Dogs Deserve Better.

“Sebelum itu, video berdurasi 28 saat mempaparkan kejadian seorang individu merotan anjing peliharannnya tular di Facebook pada Sabtu.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di kawasan Taman Perumahan Johor Jaya kira-kira jam 9.30 malam, Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Sohaimi, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman tiga tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan penganiayaan terhadap haiwan peliharaan dan meningkatkan kesederaan mengenai perlindungan terhadap haiwan.

Sumber : Sinar Harian