Wanita ‘saiko’ palsukan kehamilan – “Ini anak kita abang…”

SEORANG wanita di Edinburgh, Scotland sanggup berpura-pura memakai alat khas bagi menunjukkan dirinya seakan-akan mengandung bagi memperdayakan seorang lelaki bahawa dia hamil anak kepada individu berkenaan, lapor Harian Metro.

Jaclyn McGowan, 35, dipercayai melakukan perbuatan itu selama sembilan bulan bagi mengugut untuk mendapatkan wang daripada lelaki terbabit, Jamie Aitken dan keluarga individu berkenaan.

Malah, wanita itu turut mengirimkan gambar katil bayi kepada Jamie dan menuntut 300 pound sterling (kira-kira RM1,618) daripada mangsa.

Selain itu, Jaclyn dikatakan berkali-kali menghantar mesej dengan kata-kata kesat kepada mangsa.

Antara lain, wanita itu berulang kali mengatakan dia tidak mahu lelaki itu terbabit dengan kehidupan bayi berkenaan namun kemudian mengatakan bahawa dia mengalami keguguran.

Malah, Jaclyn pernah menghubungi ibu Jamie, Wendy Aitken dan menunjukkan gambar imbasan palsu didakwa bayi dalam kandungannya.

Selain itu, dia menuduh Jamie enggan menghadiri temu janji atau menyokongnya ketika hamil.

Wanita itu juga dikatakan memberitahu keluarga Jamie bahawa bayinya itu sepatutnya dilahirkan pada Mac lalu dan sudah berhasrat untuk menamakannya dengan nama Noah.

Pendakwa raya memaklumkan, Jaclyn yang berasal dari Rattray pada mulanya muncul di tempat kerja saudara lelaki kepada Jamie untuk memberitahu bahawa lelaki itu bertanggungjawab dengan membuatkannya hamil.

Ketika itu, dia memakai alat khas di perutnya untuk menunjukkannya benar-benar hamil.

Dalam pada itu, pada prosiding kes berkenaan, Peguam Mike Tavendale memberitahu bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke hospital.

Sumber: Harian Metro