Wanita meraung punggung digigit beruang ketika sedang ‘yakyakyeay’

SEORANG wanita di Juneau, Alaska, Amerika Syarikat digigit seekor beruang pada bahagian punggung ketika dia keluar membuang air besar di tandas sebuah tapak perkhemahan baru-baru ini, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal akhbar Daily Star, kejadian yang menimpa Shannon Stevens itu berlaku di tepi Tasik Chilkat, kira-kira 27 kilometer dari rumahnya di Haines dalam negeri Alaska.

“Saya masuk ke tandas dan duduk, namun ada sesuatu menggigit punggung saya. Saya melompat dan menjerit,” katanya.

Terkejut dengan gigitan itu, dia menjerit memanggil saudara lelakinya, Erik yang kemudian memeriksa kawasan tandas berkenaan dan menemui beruang tersebut.

Shannon, Erik dan teman wanitanya berlindung di dalam khemah mereka sepanjang malam dan menemui tapak kaki beruang di kawasan berkenaan keesokan harinya.

Ahli biologi tempatan, Carl Koch berkata, Shannon berkemungkinan digigit beruang hitam berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemui.

“Dia mungkin satu-satunya individu yang ditimpa kejadian seperti ini,” katanya.

Mangsa hanya mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.

“Saya tidak terkejut jika kejadian serupa pernah menimpa orang lain, namun untuk terserempak beruang ketika duduk di tandas pada Februari (hibernasi) dan digigit, ia jarang berlaku,” kata Shannon pula.

Sumber: Kosmo!