Ustaz Abdul Somad dilarang memasuki Singapura dengan alasan menyebarkan ‘fahaman ekstremis’

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) Singapura menyatakan bahawa alasan kepada larangan yang dikenakan ke atas penceramah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad daripada memasuki negara itu adalah kerana beliau menyebarkan ‘fahaman ekstremis’, lapor laman berita Republika.

Menurut kementerian tersebut, Ustaz Abdul Somad atau UAS tiba di Terminal Feri Tanah Merah dari Batam bersama enam individu lain, kelmarin, lapor Kosmo.

Rombongan UAS dilarang daripada memasuki republik itu dan kembali ke Indonesia pada hari yang sama selepas ditemu bual oleh pegawai imigresen

“Beliau menyebarkan fahaman ekstremis yang tidak dapat diterima masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura,” demikian menurut kenyataan rasmi KDN Singapura semalam.

Tambah kenyataan itu lagi, UAS didakwa pernah membuat kenyataan yang menghina penganut agama lain seperti Kristian dengan menggambarkan salib sebagai tempat tinggal jin kafir.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa warga asing yang ingin memasuki Singapura dinilai berdasarkan keadaannya dan bukan secara automatik.

“Ketika Abdul Somad berusaha memasuki Singapura seolah-olah untuk kunjungan sosial, pemerintah memandang serius mengenai siapa pun yang menganjurkan keganasan atau menyokong fahaman ekstremis.

“Justeru, perjalanan masuk beliau dan rakan-rakannya ke negara ini ditolak,” kata kenyataan yang sama.

Sumber: Kosmo