Tular ‘Rider’ Terdesak Sanggup Masuk Bawah Lori Kontena, Elak Jalan Sesak

Foto: Kosmo

JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang penunggang motosikal nekad menyelinap di bawah lori kontena ketika mengharungi kesesakan lalu lintas, lapor laman berita yoursay.id semalam.

Video itu dimuat naik dalam akaun TikTok @stdcollection. Kejadian dikatakan berlaku di kawasan Tanjung Priok-Marunda, Jakarta Utara.

Jalan itu dikatakan sering mengalami kesesakan lalu lintas dan penunggang motosikal itu berkemungkinan berada dalam keadaan tergesa-gesa. 

Lelaki itu ingin melintas jalan, namun lori kontena tersebut menghalang laluannya. 

Ketika dia menyelinap di bawah lori sambil menundukkan kepala, terdapat seorang penunggang motosikal lain yang membantunya melepasi kenderaan itu dengan selamat.

Video itu mendapat perhatian netizen dalam ruangan komen.

“Penduduk Jakarta kalau tidak nekad mungkin sampai pejabat pukul 12 tengah hari,” kata seorang netizen. 

Sumber: Kosmo