Seorang Maut, 35 Cedera Bas Terbabas Jatuh Ke Dalam Gaung

VIDEO kemalangan sebuah bas yang meluncur ke arah sebuah gaung di Guci, Jawa Tengah, Indonesia tular di media sosial, lapor laman berita Liputan 6 semalam. 

Bas berwarna merah yang dinaiki sekumpulan penduduk dari Tangerang Selatan, Banten itu hilang kawalan dan terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung. 

Seorang penumpang maut, manakala beberapa yang lain cedera dalam kemalangan itu 

Berpuluh-puluh penduduk setempat kemudian bergegas menyelamatkan mangsa-mangsa.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul, kejadian itu bermula apabila pemandu bas memanaskan enjin di tempat letak kenderaan.

Memetik laporan Harian Metro, pemandu itu kemudian meninggalkan bas dalam keadaan enjin dihidupkan. Bagaimanapun, bas itu tiba-tiba bergerak dan terjunam ke dalam gaung.

Berdasarkan data terkini, seorang mangsa masih mengalami kecederaan serius dan 35 yang lain hanya cedera ringan.

Mayat mangsa yang meninggal dunia akan dibawa ke kawasan pengebumian di Tangerang Selatan.

Sumber gambar – TikTok | Sumber laporan – Kosmo!