Sekolah Swasta Di China Caj Murid RM130 Untuk Tidur Sekejap Di Kelas

Foto: Suara Merdeka

Beijing: Sebuah sekolah rendah di China menjadi tajuk utama berita selepas mengumumkan akan mengenakan bayaran kepada muridnya yang mahu tidur sebentar pada waktu siang, sama ada di meja, tikar atau katil.

South China Morning Post (SCMP) pada Ahad melaporkan, untuk itu, Sekolah Rendah Jiesheng di Wilayah Guangdong akan mengenakan bayaran sehingga kira-kira AS$90 (kira-kira RM419) sepenggal.

Memetik media tempatan, laporan itu berkata, pegawai pendidikan biro tempatan menyifatkan caj itu sebagai bukan peraturan bersepadu, tetapi sebagai sekolah swasta, ia berhak melaksanakan langkah itu.

Perkembangan itu mencetuskan perdebatan netizen.

Menurut laporan SCMP, tangkap layar notis di Sekolah Rendah Jiesheng mendedahkan antara jenis caj yang perlu dibayar oleh murid untuk tidur sebentar pada waktu siang.

Murid yang tidur sebentar di meja akan dikenakan bayaran sebanyak AS$28 (kira-kira RM130). Bagi mereka yang lebih suka berbaring di atas tikar di dalam bilik darjah, bayarannya adalah AS$49 (kira-kira RM228), manakala mereka yang lebih suka tidur di atas katil di bilik peribadi perlu membayar AS$93 (kira-kira RM433).

Bayaran itu untuk tempoh satu penggal sesi persekolahan.

Seorang kakitangan di sekolah itu, yang memilih untuk tidak dikenali, memberitahu media tempatan mengenai kewujudan caj tidur siang itu.

Kakitangan terbabit berkata, caj baharu berkenaan selaras dengan peraturan rasmi, namun peraturan itu tidak wajib dan pelajar boleh memilih untuk pulang ke rumah semasa rehat makan tengah hari.

Jurucakap Biro Pembangunan dan Pembaharuan Bandar Dongguan berkata, caj itu munasabah kerana guru dikehendaki hadir untuk menyelia dan menjaga pelajar, semasa mereka tidur sebentar.

Rancangan untuk caj pelajar Sekolah Rendah Jiesheng untuk tidur siang menyebabkan ramai yang marah.

Menurut laporan itu, seorang pemerhati dalam talian berkata, ‘Adakah ini gurauan? Sekolah menjadi gila hanya untuk membuat wang.’

Seorang lagi pemerhati menyifatkan rancangan itu tidak masuk akal dan mempersoalkan sama ada pihak sekolah juga akan mengenakan bayaran untuk pergi ke tandas atau bernafas.

Sumber: Harian Metro