Sekitar 55 Gegaran Menyusul, Sehari Selepas Gempa Kuat Di Jepun

JEPUN merekodkan lebih 50 gegaran susulan semalam, sehari selepas gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter menggegarkan negara itu, menyebabkan seorang terkorban dan ramai lagi cedera, lapor portal berita Wion News.

Agensi pengurusan bencana Jepun berkata, sekitar 55 gegaran susulan, sebahagian daripadanya kuat, berlaku semalam, manakala pihaknya memberi amaran bahawa hujan lebat boleh mencetuskan bencana tanah runtuh di kawasan terjejas gempa.

Gempa itu melanda wilayah Ishikawa, tengah hari kelmarin pada kedalaman 12 kilometer dari permukaan Bumi, demikian menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Sekurang-kurangnya 23 orang cedera, manakala mangsa yang terkorban merupakan seorang lelaki berusia 65 tahun yang terjatuh dari tangga semasa gempa bumi berlaku, lapor Kosmo!

“Kakitangan kami sedang memeriksa kerosakan akibat gempa kali ini,” kata seorang pegawai di  Suzu. Bandar di wilayah Ishikawa itu paling teruk terjejas akibat bencana tersebut.

Kira-kira 1,630 penduduk Suzu telah dipindahkan dengan sekitar 250 orang lagi berlindung di pusat pemindahan, lapor agensi berita Jiji.

Lebih 100 isi rumah di wilayah itu tidak mempunyai bekalan air sehingga petang semalam selepas banyak jalan raya ditutup.

Klip video yang disiarkan di internet menunjukkan botol-botol pecah dan produk lain berselerakan jatuh dari rak kedai runcit semasa gempa berlaku.  

Sementara itu, Perdana Menteri Fumio Kishida yang baru pulang dari lawatan ke empat negara Afrika dan Singapura kelmarin telah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Sumber gambar – Harian Metro | Sumber laporan – Kosmo!