Roket Elon Musk Meletup Selepas Dilancarkan

HANYA beberapa minit selepas dilancarkan, roket Starship milik SpaceX yang sedang dalam ujian pelancaran meletup, semalam.

Memetik laporan Buletin TV3, roket Super Heavy yang membawa kapal angkasa berkenaan dilaporkan terhempas di Teluk Mexico.

Syarikat milik bilionair Elon Musk meletakkan sasaran untuk melancarkan roket Starship sepanjang 120 meter itu dalam satu pengembaraan mengelilingi bumi. Ia dilancarkan dari Texas, Amerika Syarikat (AS) yang bersempadan dengan Mexico.

Roket berkenaan bagaimanapun tidak membawa sebarang penumpang mahupun peralatan satelit.

Pada mulanya, video pelancaran roket berkenaan dipancarkan secara langsung di SpaceX dengan iringan sorakan pegawainya.

Imej yang dirakam menunjukkan beberapa segmen daripada 33 enjin roket berkenaan tidak mencapai kadar pembakaran yang betul semasa ia berlepas dari tapak pelancaran.

Belum ada sebarang kenyataan dari pihak SpaceX berkenaan jumlah sebenar enjin yang gagal dinyalakan, atau sama ada ia terpadam sebelum waktunya.

Sejurus dilancarkan, roket dengan isian bahan penggalak pembakaran itu sepatutnya terpisah dari rangka utamanya, namun itu tidak berlaku.

Roket berkenaan yang baru mencapai ketinggian 39 kilometer (km), mula terpesong arah dan meletup selepas 4 minit ia meluncur, seterusnya menjunam ke perairan Teluk Mexico.

Beberapa minggu sebelum hari pelancaran, Musk memberi kebarangkalian 50-50 mengenai kejayaan pesawat berkenaan dapat sampai ke orbit.

Difahamkan, mereka bagaimanapun mengisytiharkan misi pelancaran itu sebagai ujian penerbangan yang berjaya.

Musk bercita-cita untuk membawa manusia ke planet Marikh menjelang 2026 dan percaya bahawa Starship akan menjadi roket yang akan membawa mereka ke sana.

Sumber & Gambar : Buletin TV3