Pelanggan ‘Review’ Satu Bintang Terhadap Restoran Di Rom Kenakan ‘Caj Potong Sandwic’ RM10

Foto : Ary News

ROM – Seorang pelancong warga Britain terkejut apabila dia dikenakan caj sebanyak €2 (RM10) oleh sebuah restoran di Itali hanya kerana meminta pelayan memotong kepingan sandwic kepada dua bahagian, lapor laman berita Ary News semalam.

Menurut pelanggan tersebut, dia ketika itu memesan hidangan sandwic bersama kentang goreng.

Dia kemudian mengarahkan seorang pelayan memotong kepingan sandwic yang dihidangkan kepada dua bahagian supaya boleh berkongsi dengan rakannya.

Selepas selesai makan, lelaki itu mendapati mereka dicaj €2 (RM10) untuk khidmat pemotongan sandwic itu.

Dia tetap membayar bil tanpa merungut tetapi memberikan restoran itu satu bintang dalam ulasannya.

Pemilik restoran tersebut, Cristina Bianchi berkata, pelanggan perlu membayar untuk permintaan tambahan.

“Permintaan tambahan mempunyai kos. Kami terpaksa menggunakan dua pinggan serta dua alas, selain masa untuk mencucinya adalah dua kali ganda.

“Ia bukan sandwic yang ringkas, terdapat kentang goreng di dalamnya. Kami mengambil masa untuk memotongnya kepada dua bahagian,” katanya. – Agensi