Pekerja Asia Tidak Produktif, Paling Berpura-Pura Sibuk Di Pejabat

Foto; TrenAsia

WASHINGTON –  Satu kajian mendapati pekerja di Asia paling banyak menghabiskan masa berpura-pura sibuk di pejabat berbanding melakukan kerja hakiki dan bersikap produktif, lapor saluran berita CNBC News.

Penemuan itu dibuat berdasarkan tinjauan global syarikat perisian, Slack dan firma penyelidikan, Qualtrics yang mengkaji data daripada lebih 18,000 pekerja termasuk eksekutif.

Hasilnya mendapati, ramai pekerja menghabiskan banyak masa dalam mesyuarat, di mana pembentangan dilakukan oleh unit-unit bagi berkongsikan pencapaian mereka.

“Lebih banyak pembentangan pencapaian dilakukan berbanding membuat keputusan atau menangani isu,” kata penganalisis teknologi Slack untuk Asia-Pasifik, Derek Laney.

Berdasarkan tinjauan tersebut, India berada di kedudukan pertama bagi pekerja paling ramai yang bersikap demikian iaitu 43 peratus.

Ini diikuti dengan Jepun (37 peratus), Singapura (36 peratus), Perancis (31 peratus), Britain (30 peratus), Australia (29 peratus) dan Jerman (29 peratus).

Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan masing-masing mencatatkan peratusan yang sama iaitu 28 peratus.

Menurut Laney, antara penyebab pekerja berpura-pura sibuk adalah kerana ketua di sesebuah organisasi sering mengukur tahap produktiviti berdasarkan apa yang mereka lihat berlaku di pejabat.

“Ketua kebiasaannya menilai produktiviti pekerja berdasarkan aktiviti mereka di pejabat yang kelihatan sibuk berbanding memberi tumpuan kepada hasil kerja.

“Ia membawa kepada pekerjaan yang sia-sia kerana pekerja mahu menonjolkan seolah-olah mereka sibuk bekerja, hanya di hadapan ketua ,” ujarnya.

Sumber: Kosmo