Kau dah kenapa? Lelaki kantoi skodeng jiran buat seks gara-gara dron jatuh terhempas ke bumi

MACAM-MACAM ragam manusia. Cubaan seorang lelaki menerbangkan dron untuk merakam video hubungan intim penduduk di kawasan perumahannya membawa padah apabila dron itu terhempas ke bumi sebelum ditahan polis baru-baru ini.

Korea Times melaporkan, tangkapan terhadap suspek dibuat pada 4 Oktober lalu selepas Balai Polis Busan Nambu mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki berkenaan.

Rakan suspek berusia 30 tahun yang ada bersama lelaki itu turut disoal siasat tetapi tidak digari.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada tengah malam 19 September lalu di sebuah pangsapuri di daerah Suyeong, di selatan Busan.

Dua lelaki dipercayai mengendalikan dron dianggarkan bernilai 1 juta won (kira-kira RM3,617) itu dan menerbangkannya ke luar jendela pangsapuri terbabit.

Dron itu dilengkapi kamera berkualiti tinggi dan berada di udara untuk tempoh tiga jam sebelum terhempas.

Bunyi ia terhempas didengari penduduk yang membuat laporan polis.

Pemeriksaan awal polis menemui rakaman menunjukkan aksi beberapa pasangan melakukan hubungan intim.

Berikutan itu, suspek boleh didakwa mengikut Akta Khas berkaitan Jenayah Kekerasan Seksual.

Namun, suspek ketika disoal siasat menafikan terbabit perbuatan itu, sebaliknya memberi alasan bahawa dron itu hilang ketika menerbangkannya.

Pegawai penyiasat akan mencari sekiranya terdapat rakaman lain di telefon dan komputer riba milik suspek.

Ia memandangkan ada kemungkinan video daripada dron itu sudah dihantar kepada pihak ketiga.

Siasatan juga akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada video itu dirakam untuk disebarkan atau dijual kepada pihak tertentu.

“Sejurus siasatan menyeluruh, maklumat akan diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Suspek dipercayai melanggar undang-undang keselamatan penerbangan yang melarang dron diterbangkan pada waktu malam,” kata seorang pegawai polis. – Agensi

Sumber: Harian Metro