Lebih 400,000 pengguna! Jerman kantoikan platform pornografi kanak-kanak terbesar dunia!

PENDAKWA Raya Jerman membongkar sebuah platform dark web terbesar dunia yang menyediakan kandungan pornografi kanak-kanak pada 3 Mei lalu.

Mahkamah Frankfurt, memberi kenyataan bersama pejabat polis jenayah persekutuan melaporkan, penahanan dilakukan terhadap tiga suspek warga Jerman yang dikatakan sebagai pengasas platform pornografi yang dinamakan “BOYSTOWN”.

Turut ditahan, salah seorang suspek yang berada di Paraguay termasuk seorang pengguna platform itu.

Pihak berkuasa Jerman mendedahkan, pihaknya telah menggeledah tujuh bangunan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut pada pertengahan April lalu.

Lebih menggemparkan, dilaporkan terdapat lebih 400,000 ahli telah berdaftar sebagai pengguna platform pornografi kanak-kanak tersebut.

Platform itu juga dijadikan sebagai satu ruangan untuk mereka saling berkongsi gambar dan video yang kebanyakannya melibatkan kanak-kanak lelaki dari seluruh dunia.

Jurucakap pendakwa raya Frankfurt, Dr Julia Bussweiler menjelaskan, pembongkaran jenayah keji itu adalah hasil kerjasama beberapa agensi siasatan.

Tiga suspek utama yang ditahan adalah lelaki berusia 40 tahun dari Paderborn, lelaki 49 tahun dari Munich dan lelaki 58 tahun dari utara Jerman yang telah tinggal di Paraguay selama bertahun-tahun.

Sumber: Reuters