Kurung Anak Berusia 2 tahun di Dalam Tandas selama 3 Hari Hingga Mati

Seorang wanita berusia 22 tahun bernama Lin dan teman lelakinya, Xiao, didakwa di mahkamah kerana mendera dengan membiarkan anak lelakinya berusia dua tahun mati selepas dikurung di dalam tandas selama tiga hari tanpa makanan. 
 
Pada hari kejadian, Lin bekerja di luar kawasan dan anaknya dijaga oleh Xiao. Bengang dan terganggu dengan mangsa yang terlalu bising, Xiao mengurung anak kecil itu di dalam tandas. 
 
Tiga hari kemudian, Lin pulang dan mendapati anaknya sudah mati dan lantai dipenuhi air kencing. 
 
Jam 7 petang 9 November 2019, pihak bomba dan perubatan datang ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dan mempunyai tanda-tanda trauma. 
 
 
Mangsa kelihatan kurus dan hanya mempunyai berat 5.7 kilogram. Bedah siasat mendapati mangsa dipercayai tidak diberi makan hampir seminggu. 
 
Siasatan mendapati, Lin yang bekerja sebagai pekerja hotel mempunyai sejarah penyakit mental. Apabila anak lelakinya dilahirkan, Lin dijaga oleh saudara mara dan rakannya tetapi mereka berhenti berbuat demikian sejak Ogos 2019. Lin kemudian dipaksa berpindah ke rumah abangnya di Taipei. 
 
Malangnya, Lin dan abangnya mengambil pendekatan untuk mengurung mangsa di dalam tandas sekiranya kanak-kanak itu menangis kelaparan atau kesakitan. Mereka juga tergamak memukul mangsa atas sebab-sebab yang tidak masuk akal. 
 
Pada September 2019, Lin berkenalan dengan Xiao dan menjalinkan hubungan sebelum mengajak lelaki itu tinggal bersama dengannya. 
 
Nasib mangsa bertambah teruk, Xiao turut mendera anak kecil itu dan mencampak sisa-sisa roti jika mangsa meminta makanan. Ketiga-tiga mereka berterusan mendera mangsa sehingga mereka meninggalkan rumah sewa itu pada Oktober lalu. 
 
Pendakwaraya mendakwa Lin meninggalkan anaknya untuk jangka masa lama tanpa menyediakan makanan dan penjagaan. Xiao yang mengetahui kejadian itu tidak melakukan apa-apa untuk membantu mangsa dan hanya melepak dengan Lin setiap hari membelanjakan wang untuk makan dan melakukan maksiat.
 
Pasangan itu kini didakwa di mahkamah atas tuduhan mengabaikan dan membiarkan mangsa mati di atas kecuaian dan penderaan. Pihak berkuasa juga sedang memburu abang kepada Lin yang didapati bersubahat dalam kejadian itu.