“Kes kematian Tangmo pelik sejak awal lagi” – Dr Porntip

SEHINGGA kini, kes kematian aktres popular Thailand, Tangmo Nida masih menjadi teka-teki.

Dan sejak berita kematian pelakon jelita itu mendapat tumpuan dunia, pakar patologi forensik terkenal Thailand, Dr Porntip Rojanasunan juga dilaporkan akan menyertai proses autopsi ke atas mayat mendiang, lapor Astro AWANI.

Menerusi laporan portal Bangkok Post baru-baru ini, satu panel khas akan dipilih Jawatankuasa Senat Hak Asasi Manusia, Kebebasan dan Perlindungan untuk mengkaji dan meneliti siasatan polis berhubung kematian mengejut pelakon itu.

Porntip yang kini bergelar Senator, mengulas pemilihan beliau adalah sebagai badan pemerhati dalam proses bedah siasat kedua yang akan dijalankan atas permintaan ibu Tangmo, memetik laporan portal itu lagi.

Proses bedah siasat dijadualkan dijalankan di Thammasat University Hospital Rangsit, lapor Bangkok Post.

Porntip turut dilaporkan berkata, bedah siasat kedua itu akan membuka lebih banyak ruang persoalan terutamanya luka besar yang didapati pada paha Tangmo.

Menurut Porntip, antara persoalan utama yang perlu dijawab termasuk sama ada luka itu berlaku sebelum atau selepas insiden yang menimpa Tangmo.

Selain itu, Senator Kamnoon Sidhisamarn akan turut menyertai Porntip sebagai panel pemerhati, yang dianggotai 15 individu dari pelbagai bidang, dari aspek keselamatan membabitkan kamera keselamatan yang ada di lokasi insiden, di Jambatan Rama VII, Bangkok.

Kamnoon turut dilaporkan berkata, beliau mempercayai banyak lagi petunjuk yang boleh didapati dari insiden yang berlaku pada jam 11 malam, 24 Februari lalu.

Mayat Nida ditemui terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok, kira-kira 1 kilometer dari lokasinya terjatuh, dua hari selepas beliau dilaporkan menaiki perahu bersama beberapa orang rakannya di Sungai Chao Phraya, Bangkok.

Sumber: Astro AWANI