Indonesia Bukan Lagi Tuan Rumah Piala Dunia, Tolak Penyertaan Israel

INDONESIA digugurkan hak tuan rumah edisi ke-24 Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) angkara penyertaan Israel, umum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA menyatakan, keputusan itu diambil melihat kepada ‘perkembangan semasa’ tanpa menyatakan secara terperinci.

“Tuan rumah baharu akan diumumkan secepat mungkin, dengan tarikh kejohanan pada masa ini kekal tidak berubah,” kata kenyataan itu.

Utusan melaporkan, undian kejohanan melibatkan 24 pasukan itu sepatutnya diadakan pada 20 Mei di Bali tetapi FIFA membatalkan acara tersebut minggu lalu tanpa menyatakan alasan atau menetapkan tarikh baharu.

Indonesia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, malah turut tercetus penolakan keras rakyat Indonesia untuk menerima kehadiran kumpulan Israel.

Ratusan penunjuk perasaan Islam juga berarak di ibu kota Jakarta bulan ini bagi membantah penyertaan negara itu atas sokongan terhadap perjuangan Palestin di negara dengan majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia.

Menurut pegawai kerajaan Indonesia menjelaskan, kegagalan menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 boleh merisikokan sukan bola sepak negara itu digantung dan tidak dibenarkan menyertai kejohanan bola sepak antarabangsa lain, termasuk kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

Selain itu, Indonesia bahkan bakal menanggung kerugian mencecah bertrilion rupiah dalam aspek ekonomi.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) ‘mungkin juga diputuskan kemudian’ kerana berpotensi disekat, terang FIFA.

Sumber gambar – ANTARA Foto (Sigid Kurniawan) | Sumber laporan – Utusan