Cardi B Bebas Pertuduhan Baling Mikrofon, Harga Mikrofon Yang Dibaling Mencecah AS$99,900 Setelah Diletakkan Di Platform Ebay

LOS ANGELES – Penyanyi rap AS, Cardi B tidak akan menghadapi pertuduhan jenayah berhubung insiden di mana dia melemparkan mikrofonnya kepada seorang penonton.

Detektif melancarkan siasatan serangan ke atas tindakan bintang “WAP” itu selepas dia bertindak balas apabila seorang penonton konsert melemparkan minuman ke arahnya.

Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan penyanyi “Money” itu berundur selepas seseorang yang hampir dengan pentas menyimbah isi cawan ke arahnya.

Dalam sebuah klip, Cardi B dilihat berhenti seketika, sebelum melemparkan mikrofon kembali ke arah yang sama.

Walau bagaimanapun, beberapa video dalam talian kelihatan menunjukkan Cardi B melemparkan mikrofonnya ke arah penonton lain.

Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas berkata pada Isnin bahawa seorang wanita telah menghubungi mereka untuk melaporkan mengenai serangan tersebut dan siasatan telah pun dijalankan.

Tetapi pada Khamis, mereka mengesahkan bahawa siasatan telah dihentikan.

“Selepas semakan menyeluruh dan dengan perundingan dari Pejabat Peguam Daerah Clark County, kes ini telah ditutup kerana tidak mempunyai bukti yang mencukupi,” kata satu kenyataan.

“Tiada pertuduhan akan difailkan berhubung kes ini.”

Sementara itu, penyenaraian di tapak pembidaan eBay untuk mikrofon yang digunakan oleh Cardi B ketika itu telah mencecah AS$99,900 menjelang petang Khamis.

TMZ melaporkan penjual, Scott Fisher, bekerja untuk sebuah syarikat yang menyediakan kit audio untuk kelab Las Vegas.

Outlet hiburan itu melaporkan Fisher sebagai berkata hasil jualan itu, yang berakhir Selasa, akan dibahagikan antara dua badan amal iaitu Projek Wounded Warrior dan Friendship Circle Las Vegas, yang membantu remaja dan dewasa muda dengan keperluan khas.

Episod ‘mic-hurl’ adalah terbaru melibatkan penghibur yang menjadi sasaran objek daripada penonton.

Jun lalu, seorang lelaki melemparkan telefon ke arah Bebe Rexha semasa konsert di New York, menyebabkan penyanyi itu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital.

Pada bulan yang sama seorang penonton membaling beg yang kononnya mengandungi abu ibu mereka di pentas ketika penyanyi Pink membuat persembahan di London.

Dan tahun lepas Harry Styles dengan baik hati menghentikan sementara konsert New York selepas seseorang melemparkan nugget ayam ke arahnya. – AFP