‘Wheely’ motosikal dengan budak perempuan sebab nak viral, akhirnya meringkuk di lokap

PADAH mahu jadi popular, akhirnya meringkuk di lokap. Itu nasib yang terpaksa ditanggung seorang lelaki apabila rakaman aksinya menunggang motosikal secara berbahaya dengan membawa seorang kanak-kanak perempuan menyebabkan dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan video tular berkenaan pada jam 3 petang semalam.

Dalam klip video yang tular di laman sosial itu, seorang lelaki didapati menunggang motosikal jenis Honda EX5 sambil membuat aksi ‘wheely’ dengan cara mengangkat tayar hadapan motosikal.

Jelasnya, lelaki itu berbuat demikian bersama seorang kanak-kanak perempuan yang duduk di hadapan.

Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara.

“Lelaki warga tempatan berusia 20-an itu melakukan aksi wheelie dengan mengangkat tayar hadapan motosikal di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas.

“Tujuan aksi tersebut dibuat adalah untuk meraih perhatian warganet, katanya dalam kenyataan tersebut.

Rupiah berkata, aksi berkenaan dirakam sendiri oleh suspek menggunakan telefon bimbitnya menerusi bantuan rakan sebelum dimuat naik ke akaun Facebook milik ‘Hafiz Sim’ pada 7 malam, 15 Februari lalu.

Katanya, penunggang motosikal berkenaan ditahan bagi membantu siasatan manakala barang kes dirampas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

“Tiga saman dikeluarkan iaitu nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar,” katanya.