Sanggup Tunggu 7 Jam Depan Kedai Sebab Nak Beli Tumbler Blackpink Berharga RM478

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Seorang wanita sanggup menunggu lebih tujuh jam gara-gara ingin memiliki tumbler edisi terhad ahli kumpulan Korea Selatan terkenal, Blackpink di sebuah kedai kopi popular.

Menerusi video berdurasi lapan minit yang dimuat naik oleh @maksu.__ di akaun TikToknya, kelihatan dia mula keluar rumah sekitar pukul 12.30 tengah malam dan tiba di kedai tersebut sekitar pukul 1.30 pagi.

Disebabkan kedai kopi popular tersebut buka pada pukul 8 pagi, wanita itu sanggup menunggu di hadapan kedai sehingga premis dibuka tanpa tidur malam.

“Lebih baik awal, daripada tidak dapat langsung,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Sekitar pukul 6.50 pagi pula, kelihatan beberapa individu lain mula beratur bagi mendapatkan tumbler dan barang-barangan edisi terhad yang dijual di kedai kopi popular itu.

Akhirnya pada pukul 8 pagi, wanita itu berjaya mendapatkan tumbler edisi terhad berharga RM478 sebiji dimana setiap cawangan kedai kopi hanya mempunyai dua unit sahaja.

Sehingga kini, videonya mendapat 41,100 tontonan, 2,673 tanda suka dan 322 perkongsian.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji kegigihan wanita tersebut bagi mendapatkan barang yang diingini walaupun perlu menunggu lama.

“Tingginya kesabaran awak nak beratur dan menunggu lama-lama macam tu,” komen Along.

“Gigih sangat. Kalau saya, dah balik dah. Terlampau awal tu, sabar betul menunggu,” komen Wana.

Penjualan barang-barangan Blackpink hasil kolabrasi bersama kedai kopi popular itu mula berlangsung sejak Selasa, dengan menawarkan 10 barangan ekslusif yang berbeza.

Antaranya adalah cawan sejuk, tumbler, cawan seramik, beg tote, kunci cincin, bekas passport dengan gabungan warna merah jambu dan hitam, sinonim dengan warna rasmi Blackpink.

Setiap pelanggan boleh mendapatkan barang-barangan tersebut dengan harga serendah RM108 di semua cawangan kedai kopi popular tersebut. 

Sumber : Kosmo