Johor Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Ajaran Sesat SiHulk

Foto : Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pembanterasan Ajaran Sesat SiHulk dalam usaha membendung penyebaran ajaran sesat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, jawatankuasa itu melibatkan beberapa agensi berkaitan bagi memastikan kerjasama dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan, antaranya Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Jawatankuasa ini sudah membuat ketetapan untuk bekerjasama dalam membanteras penyebaran ajaran SiHulk, sama ada secara fizikal mahupun menerusi media sosial.

“Kerjasama dengan Jabatan Imigresen juga akan dimulakan bagi tindakan yang lebih teratur,” katanya di sini.

Justeru, Mohd. Fared menyeru orang ramai supaya menolak ajaran itu dengan tidak menyebarkan sebarang video memaparkan individu-individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran sesat tersebut.

Ajaran yang diasaskan Suhaini Muhammad itu telah difatwakan sesat sejak 22 Julai 2021 kerana didapati menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariat serta akhlak Islam.

Semua aktiviti berkaitan ajaran itu termasuk perniagaan dan perkhidmatan adalah dilarang dan difatwakan haram.

Sumber : Utusan Malaysia