Wartawan hiburan Huzz meninggal dunia

Wartawan hiburan terkenal era 1980-an hingga 1990-an, Huzz (nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin, 58), meninggal dunia pada jam 6.10 petang di Pulau Pinang, hari ini. Pemergian Huzz disahkan oleh adiknya, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin, 57.

Sebelum ini, Nur-ul Afida melaporkan Huzz, yang menghidap kanser usus tahap empat, berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di rumah keluarga di Pulau Pinang di bawah pemantauan doktor. Huzz, bekas pengarang majalah hiburan URTV, sebelum ini terlantar di Hospital Kuala Lumpur sejak Mac lalu untuk rawatan kansernya.

Penderitaan Huzz mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyerahkan sumbangan melalui Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, pada 21 Mei lalu. Selebriti seperti Datin Sofea Jane, Erra Fazira, Ziana Zain, dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis, turut menziarahinya.

Huzz pernah bertugas sebagai Pengarang Majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan popular melalui ruangan gosip Sensasi Huzz di Pancaindera, Mingguan Malaysia. Beliau juga penulis lirik terkenal dengan lagu “Keangkuhan Mu” nyanyian Ramlah Ram. Sumber – Berita Harian