Walaupun Good Vibes Festival Dibatalkan, Penyanyi Dari Australia, The Kid Laroi Tetap Adakan Persembahan Untuk Peminat Di Lobi Hotel

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Penyanyi dan pemuzik muda popular, The Kid Laroi menyentuh hati peminat apabila membuat persembahan lagu berjudul Stay dengan bersahaja di lobi sebuah hotel, malam tadi.

Menerusi perkongsian video oleh @strugirl di TikTok, kelihatan The Kid Laroi atau nama sebenarnya, Charlton Kenneth Jeffrey Howard menghiburkan peminat yang menanti untuk menonton persembahannya di Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023).

Namun GVF 2023 yang berbaki satu hari lagi itu dibatalkan serta-merta oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membuatkan peminat The Kid Laroi hampa kerana penyanyi itu sepatutnya dijadualkan membuat persembahan hari ini.

“Daripada menerima berita bahawa GVF 2023 dibatalkan kepada Kid Laroi menyanyi di sebelah kami,” tulis @strugirl.

Di ruangan komen, The Kid Laroi dilihat turut membalas komen dengan berterima kasih kepada peminat yang menyokongnya dan berharap dapat merealisasikan konsert tersebut pada masa akan datang.

“Terima kasih kerana menerima saya. Saya minta maaf kami tidak dapat menggegarkan festival itu. Saya harap kami dapat melakukannya secara nyata dalam masa terdekat,” komen The Kid Laroi dalam video tersebut.

Tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai khususnya peminat The Kid Laroi terharu dengan kesanggupan penyanyi itu untuk menghiburkan mereka walaupun di lobi hotel.

“Dia (The Kid Laroi) sangat menghargai peminatnya dan tidak mahu membazirkan masa yang dia sudah ambil untuk datang ke Malaysia,” komen Tyra.

“Baiknya dia (The Kid Laroi) sebab buat ni untuk peminat-peminat. Suka tengok video ni, harap mereka nikmati momen indah ini,” komen seorang pengguna.

Selain The Kid Laroi, peminat-peminat The Strokes dan penyanyi dari Korea Selatan, Lee Hi juga terpaksa ‘menguburkan’ impian untuk melihat persembahan penyanyi kesayangan mereka secara langsung.

Semalam, GVF 2023 dibatalkan serta-merta rentetan insiden dan kenyataan sangat biadab oleh artis dari United Kingdom (UK), Matty Healy, daripada kumpulan “The 1975” semasa persembahan di Sepang. 

Sumber : Kosmo