Bell Ngasri Terima Anugerah Bintang Paling Popular ABP35, Kemenangan Yang Disokong Ramai

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Kemenangan paling direstui dan dinanti ramai.

Itulah yang berlaku dalam media sosial sejak malam tadi apabila ramai menzahirkan rasa bangga meraikan kemenangan pelakon, Bell Ngasri selepas diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABP35 yang berlangsung di Istana Budaya, semalam.

Foto : Kosmo

Rata-rata berpendapat Bell atau nama penuhnya Ngasrizal Ngasri, 42, layak memenangi trofi tersebut selepas 37 bergelar anak seni.

Kemenangan Bell memang gempak. Tiada kelab peminat tetapi dia sudah menawan hati satu Malaysia.

“Tidak sia-sia undi Bell. Anda legenda!” puji peminatnya.

Hasil tinjauan Kosmo! Online, kemenangan Bell bukan sahaja diraikan orang ramai tetapi juga selebriti tanah air.

“Awak sememangnya layak Bell!” ciap aktres Nabila Huda dalam Twitter.

Inilah bintang yang selayaknya. Tempoh 37 tahun satu penantian yang penuh dengan kesabaran, tahniah sahabat,” ucap aktres, Didie Alias.

Semalam, Bell mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Bintang Paling Popular sekali gus menewaskan pencabar terdekat iaitu pelakon, Anna Jobling dan penyanyi, Aina Abdul.

Selain Bintang Paling Popular, dia turut membawa pulang trofi Artis Komedi Popular.

Ini merupakan trofi kemenangan pertamanya meskipun sudah berkecimpung dalam arena seni lebih tiga dekad. 

Sumber : Kosmo