Bertembung Tarikh PRN, Search Masih Akan Teruskan Konsert Di Genting Highland

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Bertembung tarikh dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, kumpulan Search tetap meneruskan Konsert Fantasia Bulan Salju yang dijadualkan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada tarikh sama.

Pemain bass band itu, Nasir Daud yang sependapat dengan penganjur konsert bertegas, pemiliham lokasi yang tidak tersenarai dalam PRN, selain waktu pengundian singkat membolehkan pengunjung datang ke konsert tanpa banyak halangan.

“Kami sudah buat banyak pertimbangan. Lokasi konsert juga tidak terlibat dalam senarai negeri yang terbabit dalam PRN memandangkan Genting terletak di Pahang yang tidak terlibat dengan PRN.

“Kami tidak boleh tangguh kerana semua pembeli mungkin sudah menempah tiket penerbangan, mahu pun tempat penginapan untuk melancong sambil menonton persembahan mega ini.

“Kami juga tahu, sekitar tengah hari semua sudah siap mengundi dan nak naik ke pusat peranginan ini pun hanya satu jam,” katanya kepada Kosmo! Online.

Meskipun jatuh pada tarikh sama dengan PRN, tiket Konsert Fantasia Bulan Salju kini sudah terjual sehingga 60 peratus dan dianggarkan bakal habis dibeli dalam tempoh beberapa minggu lagi.