MELAKA – Dua sepupu didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang tauke beras bagi penjualan beras tidak wujud bernilai RM132,000, minggu lalu.
Tertuduh, Goh Ching Jin, 30, dan Goh Kim Chai, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu seorang pemilik kilang beras, Ng Keok Kun, 36, dengan memperdaya beliau dalam tawaran penjualan beras yang tidak wujud dan oleh itu tertuduh secara bersama-sama telah mendorong mangsa memindahkan wang sebanyak RM132,000.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 9.30 pagi di pasar raya Lotus Cheng dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Julai lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa, Asisten Supritendan Nora Yaacob mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang.
Peguam K. Ponnusamy yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan kedua-dua anak guamnya hanya bekerja sebagai penjual air soya dan menanggung anak-anak yang masih kecil.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 23 Ogos sebagai sebutan semula kes.
Sumber : Kosmo