Warga Emas Rentung, Kereta Terbakar Di Jalan Brayun Sri Aman

Foto : Kosmo

SRI AMAN – Seorang warga emas berusia 76 tahun dikenal pasti sebagai individu yang rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar dalam kemalangan di Jalan Nanga San, Jalan Brayun di sini semalam.

Justeru, Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mathew Manggi berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan dimohon tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman atau menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Leonard Mallaca di talian 019 7509390 untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.

Sementara, Mathew berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh Pusat Kawalan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Sri Aman kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kenderaan yang terbakar merupakan sebuah kereta jenis Daihatsu, nombor pendaftaran QKF 4336 manakala mangsa yang terbakar di dalam kenderaan dipercayai lelaki Cina berumur 76 tahun,” katanya.

Sementara, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman yang digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kira-kira pukul 10.04 pagi mendapati kereta berkenaan telah terbakar 100 peratus.

Katanya pasukan bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula, air dari jentera bagi memadam kebakaran.

“Setelah kebakaran berjaya dipadam, didapati terdapat seorang mangsa rentung di tempat duduk pemandu,” katanya. 

Sumber : Kosmo