Tol Rahmah Percuma Di 33 Lebuh Raya Sempena Aidilfitri

KERAJAAN telah bersetuju untuk melaksanakan ‘Tol RAHMAH Percuma’ iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati oleh semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Tol RAHMAH Percuma akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan juga pada 24 April 2023 (Isnin)

Memetik laporan RTM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan Tol RAHMAH Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.

“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung, katanya dalam sidang media perutusan khas sempena perayaan Aidilfitri 2023, di sini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan turut bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat persiapan sewajarnya sempena Aidilfitri, sama ada pada 21 April 2023 atau 24 April 2023.

“Sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, maka kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan,” katanya.

Tambah Anwar bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Selain daripada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih turut bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu RAHMAH pada kadar diskaun khas.

Turut tidak ketinggalan ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik PDRM (kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya). Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023.

Katanya bersempena sambutan Aidilfitri ini, Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).

“Ikhtiar ini memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal,”katanya.

Sumber : Berita RTM | Gambar : Wikipedia