Tangkap Ikan Guna Bahan Letupan, Sembilan Nelayan Warga Filipina Ditahan

Foto : Kosmo

KOTA KINABALU – Sembilan nelayan warga Filipina ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan barat Pulau Manukan kelmarin.

Semua suspek berusia 25 hingga 60 tahun ditahan sepasukan anggota PPM Kota Kinabalu yang menjalankan Op Taring Gelora kira-kira pukul 6 petang.

PPM turut merampas 500 kilogram ikan pelbagai jenis dipercayai ditangkap dengan bahan letupan bersama dua bot yang mereka gunakan.

Bagaimanapun dalam operasi berkenaan, bahan letupan yang digunakan sudah dibuang ke laut ketika menyedari kehadiran polis marin.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan yang dianggarkan sebanyak RM104,665.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Sabah cawangan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sumber : Kosmo