Penjawat Awam Rugi Setengah Juta Angkara ‘Phone Scam’

Foto : Kosmo

SEBERANG PERAI – Seorang penjawat awam terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM677,565 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’, kelmarin.

Mangsa berusia 40-an itu pada mulanya menerima panggilan oleh seorang individu kononnya daripada pihak Pos Laju yang mendakwa terdapat bungkusan atas namanya berisi kad pengenalan dan lima keping kad bank.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta untuk memberikan maklumat perbankan dan memindahkan wang bagi mengelakkan daripada ditangkap. Bermula daripada 7 Jun sehingga 4 Julai lalu, mangsa telah melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke enam akaun bank yang diberikan.

“Mangsa hanya disedari ditipu selepas membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule dan mendapati keenam-enam akaun bank yang digunakan suspek mempunyai rekod bersabit kes penipuan,” katanya kepada pemberita di sini, lewat malam tadi.

Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber : Kosmo