Polis buru individu terlibat perbicaraan kes dadah

POLIS Kajang sedang memburu seorang individu lelaki bagi membantu berkaitan kes dadah di Batu 9 Cheras yang juga merupakan saksi penting bagi kes perbicaraan di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebelum ini satu siri serbuan telah dijalankan di You City Cheras dan Prima Villa, Cheras Kajang pada November 2018 lalu.

“Polis sedang mengesan individu ini atau dia sendiri tampil ke IPD Kajang Selangor bagi membantu siasatan kes dadah,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Penama yang dimaksudkan merupakan Yong Wei Kei berusia 29 tahun dengan alamat terakhir di Taman Lembah Maju, 56100 Ampang, Selangor.

Justeru, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Difahamkan, individu tersebut terlibat pada perbicaraan yang akan bersidang pada 8 Mac mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebarang maklumat boleh terus berhubung kepada Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp Linda Binti Abdol Wahab di talian 019-9440193.