Peniaga Pakaian Didakwa Miliki 2 Keping Wang RM100 Palsu

Foto : Kosmo

Seorang peniaga pakaian dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kulai, di Kulai hari ini atas pertuduhan memiliki dua keping wang kertas RM100 awal bulan ini.

Tertuduh, Cheoh Chuan Wang, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Mengikut kertas pertuduhan, Chuan Wang bersama seorang lagi individu yang masih bebas memiliki dua keping wang kertas RM100 palsu dengan niat hendak menggunakannya sebagai tulen.

Perbuatan tersebut dilakukan pada pukul 4 petang di sebuah stesen minyak di Batu 21, di sini 1 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Eddlyn Wong memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi berjumlah RM15,000 kerana tertuduh berisiko melarikan diri memandangkan terdapat seorang lagi suspek masih bebas.

Peguam, Omar Kutty Abd. Aziz menjelaskan tiada alasan untuk anak guamnya lari selain sudah memberikan kerjasama yang baik apabila menyerah diri kepada polis.

Peguam itu turut memohon jaminan rendah kerana anak bongsu daripada tiga beradik tersebut turut menanggung ibu berusia 60 tahun dengan pendapatan RM2,000 sebulan.Mahkamah Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000. Sebutan semula kes pada 22 Ogos ini. 

Sumber : Kosmo