Pegawai polis wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ yang terbabit dalam beberapa siri kekecohan yang tular di media sosial akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang, hari ini.
Pegawai polis itu yang ditahan kerja sejak minggu lalu, dijangka berdepan sekurang-kurangnya dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (melakukan ugutan) dan Seksyen 186 kanun sama (menghalang tugas penjawat awam).
Jika sabit kesalahan, tuduhan ugutan boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan menghalang tugas penjawat awam pula, penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, pegawai itu berdepan kecaman netizen selepas dua klip video masing-masing berdurasi 24 dan 10 saat dimuat naik di media sosial Khamis lalu memaparkan dirinya mencemuh seorang lagi anggota berpangkat Lans koperal dalam kejadian di Gombak, Selangor.
Susulan itu, Polis Kontinjen Selangor memanggil pegawai wanita terbabit untuk dirakam keterangan sebelum ditahan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Media sebelum ini turut melaporkan bahawa polis mengesahkan menerima laporan kejadian pegawai polis wanita yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ yang bertengkar dengan orang awam di parkir pusat beli-belah di Brickfields, di sini.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media Khamis lalu berkata, pegawai polis itu sudah digantung tugas dan arahan itu berkuat kuasa sehingga proses siasatan ke atasnya selesai.
Beliau berkata, proses rakaman percakapannya sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada 19 Jun lalu.
Katanya, sebanyak enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIP) Bukit Aman berkait kes yang dihadapi pegawai wanita terbabit.
Sumber : Harian Metro