Insiden Di Lapang Sasar : Penuntut Dan Jurulatih TUDM Disahkan Meninggal Dunia

Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi (Kiri) & Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin | Foto : Harian Metro

Seorang jurulatih yang menjalani latihan menembak senjata bantuan dan bom lempar di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, semalam, disahkan meninggal dunia.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, anggota berkenaan yang parah dilaporkan meninggal dunia 5.45 petang semalam.

“Seorang lagi jurulatih kini di dalam pemantauan rapi dan keadaan anggota berkenaan dilaporkan stabil.

“Dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, seorang penuntut meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah akibat letupan bom lempar semasa proses latihan berlangsung.

“Dua jurulatih yang mengalami kecederaan pula dirujuk ke Hospital Segamat, Johor,” katanya.

Menurutnya, tiga anggota TUDM terdiri daripada seorang penuntut dan dua jurulatih terbabit dalam insiden berkenaan.

“Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi berusia 22 tahun berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan.

“Beliau yang juga penuntut bagi KPP Kelas 1 Siri 78/23 di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin berusia 33 tahun adalah jurulatih di Instar, Pangkalan Udara Sendayan, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat ketika menerima rawatan.

“Koperal Udara Khairuzaman Lokman berusia 35 tahun berasal dari Kluang, Johor, adalah jurulatih di institut sama.

“Beliau sedang menerima rawatan di Hospital Segamat dengan pemantauan rapi dan dilaporkan stabil,” katanya.

Katanya, waris anggota yang terbabit sudah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan, serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

“Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM menzahirkan rasa dukacita atas kejadian itu.

“Beliau turut merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang juga kehilangan besar kepada TUDM,” katanya.

Selain itu katanya, diharapkan urusan rawatan kepada anggota yang cedera dipermudahkan, dilaksanakan dengan segera serta dikurniakan dengan kesembuhan.

“Semoga semua waris anggota yang terbabit sabar, tabah dan reda menghadapi ujian yang berlaku.

“Pihak TUDM meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.

“Di samping itu, TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang anggota TUDM maut selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin.

Difahamkan, dua jurulatih lagi parah. Ketika kejadian, mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem terbabit.

Sumber : Harian Metro