Ops Cegah Kemalangan Dan Jenayah : 4 Motosikal Disita Sebab Ekzos Bising

Foto : Kosmo

Empat pemilik motosikal ‘berputih mata’ setelah kenderaan mereka disita oleh polis dalam Operasi Cegah Kemalangan Jalan Raya Dan Pencegahan Jenayah di sekitar kawasan lorong motosikal Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di Ampang Jaya, awal pagi tadi.

Tindakan sita diambil susulan pemilik motosikal melakukan ubah suai dengan menukar ekzos bising dan menggunakan aksesori menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan operasi itu bermula 12 tengah malam hingga 2 pagi.

Katanya, operasi yang dijalankan adalah bertujuan bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya.

“Selain itu, perasi ini juga adalah bagi melakukan pencegahan dari berlakunya aktiviti jenayah.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan, sebanyak empat empat buah motosikal ditahan kerana melakukan pengubahsuaian pada struktur asal kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, penunggang dengan kenderaan yang ditahan kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk proses dokumentasi dan panggil pemilik.

“Kesemua kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

“Dalam operasi berkenaan juga, sebanyak 109 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, ubah suai struktur kenderaan, kesalahan nombor pendaftaran dan juga kesalahan-kesalahan lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal supaya tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.

Sumber : Kosmo