Beruang Merayau Masuk Kampung Di Sabak Bernam

Foto : Kosmo

Penduduk Kampung Hala Cara Baru, Parit 16, Sungai Panjang di Sabak Bernam, gempar apabila menemukan seekor beruang matahari berkeliaran di sekitar kawasan itu, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu disedari orang awam yang segera menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, sepasukan anggota dari Perhilitan Sabak Bernam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada Pondok Polis Merbau Berdarah mengenai haiwan tersebut.

“Setibanya kira-kira pukul 4 petang, anggota kita menemui pengadu dan pergi ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Hasil pemantauan kemudian menemukan kesan tapak kaki beruang itu di sekitar kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas beliau, pihaknya menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu namun tidak menemui beruang berkenaan.

“Kelibat haiwan tersebut tidak dijumpai berkemungkinan kerana telah memasuk semula hutan simpan berdekatan.

“Jantina dan usia beruang itu juga tidak dapat dipastikan,” ujarnya.

Tambah Choon Yung, pemantauan lanjut akan dilakukan pihaknya di kawasan itu bagi mengesan beruang berkenaan.

“Orang awam diminta supaya segera menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak haiwan itu,” katanya.

Sumber : Kosmo