OKT larikan diri lepas buat saringan COVID-19

SEORANG tahanan polis (OKT) nekad cuba melarikan diri sebaik sahaja selesai menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Beranang, Semenyih dalam kejadian pada Selasa lalu.

Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila suspek berjaya ditahan semula kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, suspek merupakan salah seroang dari 19 banduan yang dibawa dari Balai Polis Kajang menuju ke klinik berkenaan dengan menaiki lori polis.

“Setelah selesai ujian saringan, kesemua OKT dinaikkan semula ke dalam lori polis, secara tiba-tiba seorang daripada mereka cuba melarikan diri namun OKT itu ditahan semula dan dimasukkan ke lokap Balai Kajang dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden itu turut tular di media sosial memaparkan video berdurasi 38 saat yang cuba melarikan diri ketika masih lengkap dengan pakaian lokap.

Difahamkan, suspek juga merupakan individu yang bersabit dengan kes samun dan masih lagi menjalani tempoh reman polis ketika ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan polis.