Norazlan Berjaya Jalan Kaki Lima Hari Dari Johor Ke Istana Negara, Mahu Tuntut Keluar KWSP

Pemandu teksi, Norazlan Ismail akhirnya selamat tiba di Pintu 3 Istana Negara pada semalam setelah berjalan kaki sejauh 312 kilometer (km) dari Tol Skudai bagi membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bapa kepada lima cahaya mata itu nekad mengarungi hujan panas selama lima hari untuk ke ibu negara atas desakan dan kepayahan hidup yang dialaminya.

Memetik laporan Sinar Harian, Norazlan menjelaskan bahawa idea untuk berjalan kaki itu timbul setelah melihat usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin yang menyokong pengeluaran tersebut ditolak oleh kerajaan.

“Justeru, datang satu jalan yang nak tunjukkan bahawa orang bawahan macam saya memang sangat memerlukan (wang pengeluaran KWSP) untuk menyelesaikan hutang-hutang sedia ada.

“Terima kasih kepada NGO, pemimpin tidak kira kerajaan ataupun blok pembangkang yang bersusah payah, daripada merekalah datangnya ilham saya.

“Alhamdulillah, harap perkara ini dapat lembutkan hati pemimpin kita,” katanya menerusi satu hantaran video yang dikongsikan di media sosial semalam.

Norazlan yang berpakaian kot dan bersongkok dilihat tiba di Pintu 3 Istana Negara kira-kira jam 11.03 pagi dan ditemani Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pada 29 Mac lalu, Norazlan mencuri tumpuan ramai apabila nekad berjalan kaki sejauh 312km dari Tol Skudai ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kesusahannya disedari pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Norazlan mengakui tindakan itu umpama ‘misi gila’, namun dia menganggapnya sebagai usaha agar kerajaan memahami betapa terdesak individu sepertinya mahukan pengeluaran caruman KWSP.

Gambar : Facebook Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan | Sumber : Sinar Harian